Manfaat sumbang RM1

Oleh ZULKIFLI ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN)

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai kenaikan gaji kakitangan sektor awam pada 21 Mei lalu, mempunyai banyak hikmahnya selain dapat meringankan beban kira-kira 1.2 juta orang pekerja, ia juga mencetuskan usaha ke arah penubuhan Tabung Kebajikan dan Amal CUEPACS.

Ternyata mereka tidak ‘tamak’ atau ‘lupa diri’ dengan kenaikan gaji antara 7.5 hingga 42 peratus itu malah kesucian hati terus terpancar dengan adanya sifat mahu berkongsi bersama penderitaan dan kesusahan di kalangan ahli mahupun masyarakat termasuk golongan kurang upaya, anak yatim dan keluarga miskin yang memerlukan bantuan.

Begitulah suara yang dinyatakan oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman yang memanjat kesyukuran atas semangat dan perasaan kasih sayang oleh kakitangan sektor itu termasuk pekerja kontrak yang tidak rela gaji baru tersebut hanya dinikmati tetapi mereka yang memerlukan bantuan terus terbiar.

Menerusi tabung itu, mereka akan menyumbang RM1 sebulan dan walaupun ia dianggap terlalu sedikit tetapi besar maknanya kerana jika kesemua kakitangan sektor awam menghulurkannya, jumlah kutipan boleh mencecah lebih RM1 juta sebulan. Satu jumlah yang begitu besar dan ia perlu diuruskan dengan cekap dan lebih penting ialah soal ketelusan.

‘‘CUEPACS akan membincangkan perkara ini secara terperinci dalam mesyuarat kami pada 1 Julai ini termasuk menentukan mekanisme dan prosedur bantuan yang boleh disumbangkan menerusi tabung itu nanti.

‘‘Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan ada di kalangan mereka mahu menyumbang lebih RM1 sebulan selepas berpendapat jumlah itu terlalu sedikit berbanding kenaikan gaji yang diperoleh mulai Julai ini,’’ katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas kewujudan tabung berkenaan yang menimbulkan persoalan mengapakah baru sekarang ia hendak ditubuhkan, jelas Omar, sebelum ini CUEPACS berpendapat dengan gaji yang sedia ada dan kos sara hidup yang tinggi, ia menjadi kekangan terhadap sebarang usaha untuk mewujudkan tabung seumpama itu.

Apa yang menarik, seperti mana dinyatakan Omar, wang sebanyak itu akan dilaburkan dalam sektor perniagaan yang dijalankan oleh institusi-institusi kewangan agar ia boleh menjana pertumbuhan ekonomi negara dan pada masa yang masa keuntungannya dinikmati oleh ahli dan orang ramai.

Beliau seterusnya memberitahu, pihaknya akan menubuhkan sebuah sekretariat dan beberapa kakitangan untuk mengendalikan tabung itu dengan dipantau oleh ahli-ahli kongres supaya tidak berlaku sebarang penyelewengan.

‘‘Untuk memudahkan kakitangan menyumbang kepada tabung ini, mereka boleh menyumbang terus sebanyak RM12 setahun atau RM6 bagi tempoh enam bulan daripada kutipan dibuat RM1 pada setiap bulan.

Kutipan

‘‘Mengenai kutipan pula, CUEPACS akan berbincang dengan setiap kementerian kerajaan dalam urusan ini termasuk melakukan kutipan sumbangan tersebut dengan kerjasama kepimpinan kesatuan di peringkat negeri,” jelasnya.

Mengulas idea murni ini, bekas Presiden CUEPACS, Datuk N. Siva Subramaniam berkata, penubuhan tabung kebajikan itu adalah satu cadangan yang baik dan berharap ia dapat dimanfaatkan oleh setiap ahli dan mereka yang memerlukannya.

‘‘Sudah sampai masanya kakitangan awam juga memainkan peranan dalam memberi sumbangan termasuk mereka yang memerlukan dan membuktikan komitmen mereka untuk membayar balik apa yang mereka peroleh menerusi kenaikan gaji itu kepada rakyat jelata,’’ ujarnya.

Beliau yakin, imej CUEPACS akan terus dipandang sebagai sebuah kesatuan sekerja yang tidak hanya memperjuangkan nasib ahli semata-mata dalam soal tuntutan gaji tetapi juga mengambil kira kepentingan kebajikan mereka apabila ditimpa musibah dan membantu menyediakan sumbangan kepada anak-anak kakitangan yang hendak melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

Dengan pendekatan ini, kata Siva, imej kongres itu secara langsung terus dipandang mulia dan usaha murni tersebut juga membuktikan kepimpinan kesatuan sekerja itu terus bertambah matang. Malah, beliau sendiri bersedia memberi pandangan kepada kepimpinan sedia ada agar usaha merealisasikan penubuhan tabung berkenaan menjadi kenyataan.

Seorang lagi bekas Presiden CUEPACS, Datuk Nordin Abdul Hamid mengucapkan tahniah atas inisiatif kepimpinan sedia ada dalam menubuhkan tabung berkenaan selain suara hati kakitangan sendiri yang bersedia memberi sumbangan yang begitu bermakna itu.

‘‘Apa yang penting dengan adanya tabung ini nanti ialah soal kesamarataan iaitu tidak ada nanti ahli kesatuan yang berasa kecewa dan kecil hati apabila permohonan mereka untuk mendapatkan bantuan tidak tercapai.

‘‘Perkara ini perlu diambil kira dan sebelum kutipan dibuat, ia harus mendapat persetujuan daripada ahli kesatuan malah sumbangan itu harus dilakukan secara sukarela serta mengikut lunas-lunas perundangan sedia ada,’’ ujarnya.

Bagaimanapun, apa yang lebih penting cadangan itu perlu mendapat persetujuan daripada ahli-ahli gabungan dalam CUEPACS dan mereka yang berhak nanti tidak harus diketepikan daripada menerima bantuan menerusi tabung berkenaan.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang merupakan ahli gabungan CUEPACS yang mempunyai keahlian seramai 130,000 orang juga memberi sokongan padu mengenai cadangan mewujudkan tabung tersebut dan bersedia memainkan peranan aktif untuk mendapatkan persetujuan daripada semua ahlinya.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng sambil memberitahu, NUTP sendiri cuba untuk mewujudkan tabung seumpama itu pada 1996 juga dengan sumbangan sebanyak RM1 sebulan.

Bagi Yim Pheng, apa yang lebih mustahak ialah ia harus mempunyai satu bentuk kawalan tertentu dan memastikan hanya mereka yang berhak sahaja diberikan bantuan serta memperoleh faedah daripadanya.

Tinggalkan komen

Tiada komen.

Comments RSS TrackBack Identifier URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s