Warisan bukan nostalgia

Oleh Ku Seman Ku Hussain (WARTAWAN UTUSAN)

Pengumuman Menteri Kebudayaan Kesenian dan Warisan (KeKKWa), Datuk Seri Dr. Rais Yatim bahawa bangunan bersejarah Stadium Merdeka tersenarai sebagai Warisan Kebangsaan adalah suatu yang menggembirakan. Malah stadium yang buat pertama kali merayakan kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957 itu dikelaskan sebagai warisan yang paling bernilai mengatasi 50 perkara dalam senarai warisan kebangsaan baru-baru ini.

Dalam senarai 50 warisan kebangsaan yang diumumkan sebelum ini, Stadium Merdeka tidak tercatat sebagai salah satu bangunan warisan. Bagaimanapun penjelasan Rais bahawa kementerian itu merancang satu acara khusus pada 31 Ogos depan untuk mengisytiharkan Stadium Merdeka sebagai warisan negara ini memperlihatkan satu kesedaran warisan yang tinggi.

Menghargai sejarah dan warisan adalah suatu yang masih longgar dan tidak kukuh dalam kalangan masyarakat tempatan. Sejarah selalu dilupakan dan peninggalan warisan pula selalu diabaikan. Ini disebabkan ada tanggapan bahawa kedua-duanya tidak relevan dengan keperluan hari ini dan masa depan. Sejarah dan warisan selalu difahami sebagai ‘benda mati’ maka kepada sesetengah orang, ia tidak bernilai lagi kecuali sedikit sentimental kepada masa lampau.

Ini adalah satu kesilapan pemahaman tentang sejarah dan warisan. Ia bukanlah nilai sentimental atau nostalgia kerana hidup tidak boleh bersandar kepada nostalgia. Tetapi hidup bergerak bersama sejarah. Benda-benda warisan yang ditinggalkan itu adalah kesan laluan sejarah kepada sesuatu bangsa.

Kesedaran terhadap warisan yang berkait dengan tamadun bangsa memang perlu dipertingkatkan supaya warisan tidak dianggap sebagai suatu yang antik atau lama. Penanda aras nilai warisan tamadun bangsa bukanlah hanya kerana usianya tetapi signifikan dengan sejarah dan kecemerlangan bangsa.

Dalam percaturan antara nilai komersial dan warisan, tanpa kesedaran yang tinggi terhadap tamadun, sudah tentulah warisan akan tewas kepada perkiraan ringgit dan tuntutan modenisasi. Maka untuk mempertahankan warisan bukan sekadar bersandarkan kepada akta yang diperuntukkan oleh undang-undang tetapi juga kesedaran dan penghayatan yang tinggi.

Kerana itu dengan adanya senarai 50 warisan kebangsaan, ini adalah langkah awal untuk mengubah persepsi banyak pihak terhadap warisan yang selalu disekutukan dengan ‘lapuk’ dan tidak relevan untuk meredah modenisasi.

Tetapi menyenaraikan 50 warisan kebangsaan juga ada kesukaran dan kerenahnya. Untuk kumpulan 50 perkara yang pertama ini, tentulah perkiraannya dibuat berdasarkan tingginya signifikan dengan bangsa dan negara ini. Maka senarai pendek dari 500 perkara perlu diperhalusi daripada aspek signifikannya dengan nilai sejarah dan negara.

Jawatankuasa pemilih mungkin boleh beranggapan, kalau mahu memenuhi kehendak semua pihak, senarai Warisan Kebangsaan ini akan menjadi berjela-jela panjangnya. Apabila terlalu banyak yang hendak dimasukkan dalam senarai, nilai sebenarnya dengan sendiri terabai. Tanggapan ini ada benarnya. Tetapi mengabaikan rungutan pihak-pihak tertentu yang mempertikaikan senarai ini juga bukanlah suatu yang bijak.

Selepas Stadium Merdeka dimasukkan dalam senarai, ada pihak yang tertanya-tanya lokasi seperti Padang Pahlawan di Melaka yang tidak ada dalam senarai kali ini. Barangkali dalam senarai yang akan datang, soalnya kenapa tidak dimasukkan kali ini?

Sebenarnya Padang Pahlawan hanya tinggal nama kerana ‘padang’ tempat Tunku Abdul Rahman mengumumkan tarikh kemerdekaan Malaya sudah tiada. Kita memang sudah hilang satu Warisan Kemerdekaan yang sangat bernilai.

Ada kewajaran juga apabila Padang Pahlawan tidak ada dalam senarai warisan kebangsaan kerana lokasi yang asli sudah tiada. Padang Pahlawan sangat bernilai dari aspek warisan tetapi nilai warisan akhirnya tewas kepada tuntutan pembangunan.

Bagaimanapun kita perlu sedar bahawa kehebatan sesuatu bangsa berkait rapat dengan tamadun silamnya. Itu adalah sejarah dan sejarah pula boleh dilihat kesannya daripada monumen-monumen seperti Stadium Merdeka dan sebagainya. Di sebalik monumen ini ada catatan-catatan yang mengingatkan kita tentang kecemerlangan masa lampau yang seharusnya menjadi pencetus kepada kegemilangan masa depan.

Sabtu lalu banyak yang menunggu pengumuman tujuh monumen ajaib dunia. Antaranya termasuklah Piramid Giza, Taj Mahal dan Colosseum di Rom. Kenapa dunia mengangkat bangunan-bangunan lama ini sebagai suatu yang sangat bernilai waima selepas ribuan tahun pembinaannya? Faktornya tentulah sejarah yang tercipta di sebalik binaan itu yang mempunyai hubung kait dengan kecemerlangan silam.

Cara Itali menghargai khazanah warisan bangsanya barangkali boleh dijadikan contoh. Colosseum yang dibina tahun 70 Sebelum Masihi telah ditutup kepada pelawat mulai 1993 hingga 2000. Ini untuk membolehkan pihak berkuasa untuk membaik pulih gelanggang gladiator ini yang teruk tercemar oleh cuaca. Kerja membaik pulih itu menelan belanja AS$19.3 juta atau 40 bilion lira Itali.

Di Paris misalnya terdapat ratusan bangunan yang diwartakan sebagai warisan mempunyai sejarah tentang tamadun Perancis. Salah satunya kediaman Victor Hugo, sasterawan tersohor Perancis yang dipelihara sebagai muzium hingga kini. Padahal tidak ada keunikan di kediaman itu, nilainya ialah sejarah kediaman itu yang menyumbang kepada kemasyhuran Victor Hugo.

Kembali ke negara ini, senarai 50 Warisan Kebangsaan tentunya boleh diperkemaskan dengan memasukkan bangunan atau lokasi yang pernah melahirkan tokoh sama ada dalam politik, seni atau sosial. Senarai warisan akan lebih bermakna kalau di dalamnya tercatat Teratak Za’aba di Batu Kikir, Negeri Sembilan, rumah Syed Sheikh Al-Hadi di Pulau Pinang dan rumah P. Ramlee di Kuala Lumpur. Tokoh-tokoh ini adalah pemikir terbilang yang membuat anjakan yang bukan kecil kepada pemikiran bangsanya.

Kesediaan kerajaan mengambil rumah P. Ramlee menjadi Pustaka Peringatan P. Ramlee dan membina semula rumah Za’aba menjadi Teratak Za’aba adalah usaha murni. Maka suatu yang sangat wajar kalau bangunan-bangunan ini diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan.

3 Komen

  1. kerajaan malaysia sentiasa berusaha untuk kebaikan negara…..

  2. sokong liPAS……kerajaan pimpinan Pak Lah/BN adalah yg terbaik…..

  3. slm..
    x de sejarah tntg SULTAN ABDUL SAMAD ker????


Comments RSS TrackBack Identifier URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s