Paduan kaum mesti jitu

Oleh MOHD. ARIF ATAN (Utusan Malaysia)

KEBEBASAN bersuara di Malaysia sememangnya tidak wajar disalah guna sebaliknya perlu dimanfaatkan secara berhemah.

Adalah keterlaluan apabila sesetengah pihak menganggap hak kaum bukan Melayu dan kebebasan beragama di negara ini telah dinafikan.

Bagaimanapun masih ada suara sumbang yang mendakwa wujudnya diskriminasi terhadap mereka sedangkan kedudukan mereka jauh berbeza dengan negara lain seperti komuniti Melayu di Thailand serta masyarakat Cina di Indonesia? Malah, untuk menyatakan senario kaum minoriti di kedua-dua negara terbabit sebagai telah dipinggirkan juga tidak tepat.

Kaum Melayu di wilayah selatan Thailand serta orang Cina Indonesia sebenarnya ‘diasuh’ dan dibentuk supaya menepati ciri rupa bentuk kebangsaan negara masing-masing.

Paling ketara ialah mereka memiliki nama yang serupa dengan bangsa dominan di negara yang mereka diami selain daripada berkomunikasi secara rasmi dalam bahasa kebangsaan negara-negara terbabit.

Namun, kaum bukan Melayu di negara ini tidaklah pula dipaksa untuk berbuat demikian. Malah, mereka bebas mengamalkan bahasa, budaya dan agama masing-masing tanpa mudah diganggu gugat oleh pemerintah.

Bukankah segala ruang kebebasan mengamalkan bahasa, budaya malah bergiat dalam ekonomi membuktikan mereka tidak diabaikan atau dianaktirikan sebagai bangsa Malaysia?

Atau adakah kegagalan kita melaksanakan perancangan membentuk satu rupa bangsa Malaysia seperti di Thailand dan Indonesia menjadi punca kepada lantangnya suara golongan pelampau perkauman di negara ini?

Keunikan Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan berbeza agama bakal mengundang malapetaka jika golongan pelampau perkauman dibiarkan ‘menyalak’ dengan tidak menghormati hak dan perasaan orang Melayu.

Ternyata, proses sosialisasi perpaduan antara kaum yang bersifat permukaan dan senipis kulit bawang ini nampaknya perlu diberi perhatian oleh semua pihak terutama parti-parti politik negara ini.

Kepentingan kaum yang diperjuangkan usah sehingga melampaui kepentingan nasional.

Bidang pendidikan, penyiaran, percetakan dan sektor pekerjaan perlu kembali dijadikan teras penting menggilap persefahaman antara kaum.

Jurang atau polarisasi kaum perlu dikurangkan bukan semakin dibenarkan atas dasar ‘perpaduan’ dan ‘tolak ansur’. Perlu ditegaskan bahawa perpaduan satu bangsa hanya benar-benar terbentuk apabila semua kaum bersedia berkongsi, menghormati dan mengamalkan kebudayaan hidup yang sama atau paling tidak pun mirip dengan kelompok teras dalam sesebuah masyarakat.

Kebudayaan

Dalam konteks Malaysia, perkara ini bukanlah suatu yang terlalu ideal dan mustahil dicapai. Komuniti Cina Baba atau Peranakan serta golongan Ceti di Melaka dan Pulau Pinang adalah contoh terbaik bagaimana bentuk kebudayaan mereka boleh dianggap mencapai matlamat satu bangsa.

Fahaman satu bangsa Malaysia berteraskan kebudayaan Melayu mesti jelas difahami oleh masyarakat bukan Melayu. Penekanan kepada aspek Melayu dalam bangsa Malaysia tidak harus dianggap sebagai satu bentuk diskriminasi apatah lagi mengaitkan dengan pelanggaran hak-hak asasi manusia.

Ini kerana dari segi sejarah dan kedudukan tanah air ini sendiri pun terletak dalam kawasan Gugusan Kepulauan Melayu (Malay Archipelago).

Ada juga pihak pelampau perkauman ini yang menggunakan alasan perjuangan menuntut kemerdekaan juga datang daripada kelompok kaum mereka.

Mereka gagal melihat dan mentafsir perspektif sejarah secara menyeluruh.

Hakikatnya, orang Melayu menentang penjajah bermula sejak tahun 1511 lagi. Penentangan terhadap penguasaan Portugis dan Belanda kemudiannya diteruskan untuk memerangi pihak Inggeris di Tanah Melayu.

Datuk Dol Said, Raja Mahadi, Datuk Maharajalela, Tengku Antah, Dato’ Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Rosly Dhoby, Rentap dan Mat Salleh beserta para pengikut dan penduduk Melayu tempatan adalah antara senarai panjang pejuang-pejuang Melayu dan bumiputera yang bermandi darah menuntut kebebasan tanah air daripada cengkaman penjajah.

Abad ke-20 dan ke-21 di tanah air ini sebenarnya diwarnai oleh perjuangan orang Melayu yang dipelopori juga oleh golongan kelas menengah, ulama, guru, pelajar, wartawan, penulis juga sasterawan Melayu.

Sebaliknya, penglibatan kaum bukan Melayu secara rasmi dalam menuntut kemerdekaan negara hanya bermula dengan penyertaan MCA pada 1952 dan MIC pada 1955 dalam Parti Perikatan yang diketuai oleh UMNO.

Adakah sejarah panjang perjuangan bangsa Melayu hampir 500 tahun ini berbanding tempoh kurang 5 tahun sebelum negara merdeka masih mahu dinafikan?

Tidak keterlaluan, golongan pelampau memang cenderung menyalahgunakan kebebasan bersuara yang diberikan.

Sikap toleran juga sebenarnya bermaksud pengorbanan. Sejarah telah membuktikan orang Melayu telah sanggup berkorban ‘berkongsi’ tanah air dengan kaum pendatang.

Pada tahun 1952, orang bukan Melayu akhirnya mendapat taraf kerakyatan atas dasar jus soli yang pernah ditentang keras oleh orang Melayu pada 1946. Akibatnya, dalam tahun 1958 sahaja terdapat lebih 800,000 orang bukan Melayu telah menjadi kerakyatan Malaya ketika itu. (R.S Milne dalam Politics and Government in Malaysia)

Durian runtuh yang diperoleh oleh bukan Melayu berlaku hanya kerana mahu menjadikan institusi raja-raja Melayu, kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu sebagai teras kenegaraan bagi negara yang bakal merdeka.

Keadaan yang dipanggil ‘tawar-menawar’ atau kontrak sosial inilah nampaknya yang sengaja mahu dipadamkan oleh pihak yang menyalahgunakan kebebasan bersuara dengan menuntut yang bukan-bukan terhadap kaum mereka.

Seharusnya, kaum bukan Melayu dan kelompok Melayu liberal lebih bersikap terbuka dan rasional dengan menghormati hak dan kedudukan orang Melayu.

Mereka juga harus berakomodasi dengan bangsa Melayu seperti mana yang telah ditunjukkan oleh orang Melayu sebelum dan sekarang ini yang tetap menerima mereka sebagai satu keluarga di tanah air ini.

Mahu tidak mahu, dasar sosial, ekonomi dan politik yang bertujuan memupuk perpaduan dan integrasi nasional mesti diberi penekanan yang sewajarnya. Tembok-tembok perkauman perlu dirobohkan untuk melihat darjah persefahaman dan perpaduan yang tinggi.

Salah satu kaedahnya dengan menghapuskan halangan interaksi antara kumpulan etnik. Di sinilah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berperanan sebagai mangkin perpaduan antara kaum.

Namun, dengan kedudukan bahasa kebangsaan semenjak lima tahun kebelakangan ini, adakah kita lupa bahawa bahasa Melayu juga ajen penting memupuk perpaduan dan merapatkan hubungan antara kaum?

Dalam masa yang sama, tiga dasar sosial penting negara iaitu Rukun Negara, Dasar Pelajaran Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan perlu dijiwai pelaksanaannya bagi membentuk rupa bentuk bangsa Malaysia yang bersatu, saling menghormati serta mengenang budi.

1 Komen

  1. This unique blog post, “Paduan kaum mesti jitu GERBANG HATI KE HATI” indicates that u truly understand everything that you are speaking about!
    I definitely agree with your blog. Thank you ,Angela


Comments RSS TrackBack Identifier URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s